Tinta Kehidupan: Isu waterbirth Malaysia 2016

Isu waterbirth Malaysia 2016

Saya ingin menyimpan artikel daripada Medical Mythbusters Malaysia (M3) bertarikh 14 July 2016 di sini ;)


Ringkasan isu
1. Kementerian Kesihatan Malaysia terus komited dalam usaha mengurangkan jurang kematian ibu hamil melalui pelan tindakan yang komprehensif.
2. Unit khas KKM yang mengkaji keseluruhan isu-isu perubatan termasuk isu kaedah kelahiran dalam air ini mendapati kaedah tersebut banyak mendatangkan risiko berbanding manfaat. Malah kepakaran, sistem dan prasarana dalam negara kita masih belum sesuai dilaksanakan.
3. Demi menjaga keselamatan nyawa ibu, kaedah ini perlu dihentikan. Walaupun proses kelahiran adalah sebuah fitrah, namun dalam sekelip mata ianya boleh berubah menjadi musibah. Yang penting adalah bagaimana musibah itu dijangka (anticipated), dicegah (prevented) atau diuruskan (managed) sekiranya ianya terjadi oleh orang yang berkeahlian. Jangan memperjudikan nyawa dua insan akibat kepentingan diri serta kelompok kita sendiri.
Forwarded from Medical Mythbusters Malaysia's comment
++++

Link lengkap di sini  https://www.facebook.com/MedicalMythbustersMalaysia/posts/1067345506689280:0

ISU WATERBIRTH
Keselamatan Ibu (Safe Motherhood) adalah sentiasa menjadi prioriti utama bidang kesihatan di Malaysia. Memperbaiki maternal mortaliti ratio (kadar kematian ibu dalam tempoh mengandung, bersalin dan berpantang) merupakan antara sasaran Millenium Development Goals yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Parameter-parameter didalam MDG-5 menjadi penentuukur taraf kehidupan penduduk sesebuah negara, memberi gambaran awal mengenai status pendidikan, kesihatan, dan pembangunan sumber manusia, yang mencerminkan imej negara di peringkat dunia. [1]

Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa komited ke arah memastikan keselamatan ibu mengandung, bersalin dan berpantang. Salah satu usahanya adalah dengan mengadakan garis panduan mengenai keselamatan dan kesihatan melibatkan ibu dan bayi, termasuklah melibatkan kaedah bersalin yang diberi nama Waterbirth.

Melalui MAHTAS (Malaysian Health Technology Assessment) yang merupakan sebuah cabang dibawah KKM sendiri, sebuah kertas kerja systematic review telah dihasilkan yang menganalisa dengan neutral dan komprehensif mengenai kaedah bersalin ini. MAHTAS merupakan badan bertanggungjawab di Malaysia mengeluarkan laporan-laporan mengenai pelbagai kaedah rawatan dan teknologi terkini, serta menyediakan garis panduan (Clinical Practice Guidelines) untuk kegunaan seluruh pegamal perubatan di Malaysia. MAHTAS dianggotai oleh pasukan terdiri daripada pakar-pakar perubatan, epidemiologis, ahli farmasi, saintis dan sebagainya yang akan menilai jurnal-jurnal dan kertas kajian di seluruh dunia sebelum mengeluarkan sesuatu laporan atau guidelines. [2]

Khusus mengenai isu Waterbirth, MAHTAS sudah mengeluarkan sebuah laporan 88 mukasurat systematic review [3] yang menganalisa lebih 1200 kertas kajian mengenainya, dengan 21 daripadanya menjadi asas kepada laporan yang dikeluarkan ini. 21 kertas kajian tersebut melibatkan satu sytematic review, satu Randomized Control Trial (RCT), dua kajian Cohort, tiga kajian Case Controlled, empat kajian Cross Sectional, tiga kajian Case Series, enam Case Report dan sebuah kajian ekonomi.

Analisis pula dibuat melibatkan enam aspek utama iaitu - keselamatan, keberkesanan, penjimatan (cost-effectiveness), pengurusan serta aspek undang-undang.

Hasil dari analisis yang menyeluruh dan sistematik ini memberikan kesimpulan bahawa, terdapat kebimbangan melibatkan aspek keselamatan ke atas ibu dan bayi yang terlibat dalam proses kelahiran Waterbirth. Antara komplikasi yang didapati boleh berlaku ke atas ibu adalah seperti komplikasi koyakan vagina serta jangkitan kuman. Manakala komplikasi ke atas bayi termasuklah seperti terputus tali pusat, bayi kelemasan didalam air takungan, serta jangkitan kuman seperti Legionella pneumophilia, Adenovirus dan Pseudomonal Aeruginosa.

Di bidang kesihatan, kita sentiasa membandingkan antara keperluan (need) dan risiko (risk). Keselamatan sentiasa menjadi prioriti utama, sesuai dengan prinsip maqasid syariah yang digariskan Islam iaitu menjaga nyawa (hifzul nafs).

Atas dasar itulah, Kementerian Kesihatan Malaysia mengeluarkan arahan untuk fasiliti kesihatan memeriksa kembali protokol yang digunakan dan memastikan keselamatan para ibu sebelum meneruskan perkhidmatan Waterbirth. Larangan yang dikuatkuasakan KKM adalah bersifat sementara, manakala pihak fasiliti kesihatan yang sudah memenuhi kriteria yang ditetapkan boleh memohon kembali dan menyambung khidmat berkenaan. [4]

Kami di M3 menyanjung tinggi ketegasan dan keprihatinan KKM ke atas keselamatan melebihi tuntutan dan kehendak orang awam khasnya yang menjadi pelanggan kepada perkhidmatan ini. 
Sememangnya dalam aspek melibatkan nyawa, kita tidak akan berkompromi. Kejayaan KKM ke arah mengurangkan Maternal Mortality Rate adalah pencapaian yang membanggakan dengan rekod yang terbukti. [5] Seharusnya kita semua tidak ada halangan ke arah menyokong usaha KKM bagi memelihara kesihatan penduduk Malaysia.

Dalam masa yang sama, kami di M3 menzahirkan kekecewaan terhadap sesetengah pihak yang memandang serong atas ikhtiar yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ini. Kami hanya ingin melontarkan sebuah persoalan kepada mereka - "Apakah ada perkara yang lebih penting, berbanding keselamatan nyawa seseorang ibu dan anak?"
Kami menyeru kepada para masyarakat awam khasnya ibu-ibu mengandung yang bakal melahirkan anak, agar sentiasa meletakkan keselamatan sebagai prioriti utama dalam aspek kelahiran anak anda. Berhati-hati agar tidak mudah terbuai dengan pujuk rayu pihak tertentu serta testimoni-testimoni yang sudah tentunya tidak menggambarkan realiti dan statistik sebenar. Proses kelahiran adalah sebuah fitrah, namun dalam sekelip mata ianya boleh berubah menjadi musibah. Yang penting adalah bagaimana musibah itu dijangka (anticipated), dicegah (prevented) atau diuruskan (managed) sekiranya ianya terjadi.

Usahlah memperjudikan nyawa diri dan anak yang masih belum melihat dunia, semata-mata untuk mendapat sebuah kepuasan yang sementara. Sedangkan begitu ramai ibubapa di luar sana, mendamba untuk menimang cahaya mata namun belum direzekikan oleh Tuhan.

Dapatkan nasihat pakar yang akan bertanggungjawab menjaga dan memelihara, anda dan bayi kandungan anda, sepanjang proses mengandung, bersalin dan pantang. Program Maternal and Child Health (MCH) yang disediakan oleh KKM diiktiraf sebagai antara program terbaik di dunia yang menjadi model kepada negara-negara lain. [6] Dedikasi dan keikhlasan staf perubatan dari atas sehingga akar umbi ke arah memastikan keselamatan anda dan bayi anda, adalah tidak ada tolok bandingnya.

Jangan sia-siakannya.
Pilih selamat.
Pilih Safe Motherhood.
Medical Mythbusters Malaysia (M3)
http://fb.com/medicalmythbustersmalaysia

Follow page kami di FB untuk mendapatkan maklumat-maklumat kesihatan yang sahih, tepat dan benar dari ahli-ahli perubatan yang bertauliah
***
Rujukan Luar,
1. MDG GOAL 5: IMPROVE MATERNAL HEALTH -http://www.un.org/millenniumgoals/maternal.shtml

2. INAHTA Members > MaHTAS – Health Technology Assessment Section, Ministry of Health Malaysia - http://www.inahta.org/members/mahtas/

3. Malaysian Health Technology Assessment (MaHTAS). Water birth. Putrajaya: Malaysian Health Technology Assessment (MaHTAS). 2013 -http://www.moh.gov.my/…/database_sto…/store_view_page/30/230

4. Press Statement DG of Health 13 July 2016: MOH Proposed Guidelines & Audit on Water Birth - https://kpkesihatan.com/…/press-statement-dg-of-health-13-…/

5. BORGENMagazine, The Decline of Maternal Mortality in Malaysia -http://www.borgenmagazine.com/decline-maternal-mortality-m…/

6. The Malaysian Times, Malaysia reducing maternal mortality rate -http://www.themalaysiantimes.com.my/malaysia-reducing-mate…/


No comments:

Post a Comment