Tinta Kehidupan: "Terima kasih doktor..."

"Terima kasih doktor..."


“Terima kasih doktor, tiada orang bagitahu saya macam ni sebelum ni. Saya ada tanya tapi diaorang cakap tunggu 'appointment' dulu baru doktor bagitahu. Kami sudah tujuh tahun kahwin doktor, ini kali mengandung kami sangat gembira, setiap dua minggu ada datang klinik, tiba-tiba tiada sudah.”

Sedari tadi aku mendengar luahan seorang suami yang sedikit terkilan kandungan isterinya gugur. 

Aku hanya mengigit bibir di sebalik topeng hijau yang menutup sebahagian hidung dan mulutku. Penangan COVID-19.

….

Seketika sebelum itu.

“Doktor, pesakit selepas ini, suaminya akan masuk sekali ya, pesakit tidak pandai berbahasa Melayu atau Inggeris”.

Kerutan dahiku sama naik dengan kehairananku mendengarkan kata-kata staf di klinik. 

Sebaik sahaja mataku menatap nota pesakit di skrin komputer, aku mengerti, mereka bukan warganegara. Namun, tiada bezanya layanan aku nanti, hanya aku perlu tahu bagaimana untuk berkomunikasi. 

Si suami petah berbahasa Melayu, dengannya aku berinteraksi.

“Silakan duduk, Tuan selesa berbahasa Melayu atau Inggeris? Saya tak pandai Tamil atau Hindi, walaupun saya mungkin tahu sikit-sikit penangan tengok cerita Hindi Kuch-Kuch Hota Hai,” bicaraku disertai gelak kecil sang suami. 

Ok, mereka mudah mesra aku kira.

Perbualan kami banyak tertumpu kepada hasil ujian makmal keguguran yang baru berlaku, kesihatan isterinya selepas keluar dari hospital dan rancangan mereka untuk kembali mencuba untuk hamil. 

Sebaik mungkin walaupun perbualanku lebih kepada suaminya darihal kesukaran berbahasa, acapkali aku memandang kepada sang isteri agar dia rasa penglibatannya diperlukan dalam bicara kami. 

Pandangannya redup memandang ke bawah, aku cuba angkat dengan pertanyaan dan panahan mataku pada mukanya. 

Ia berjaya membuatkan wanita ini mengeluarkan bicara kepada suaminya, aku kira dia tidak sombong, namun tembok bahasa memisahkan kami ketika itu.

“Bila isteri saya boleh mula mengandung doktor? Berita kehamilan kali ini menggembirakan kami, namun jadi begini akhirnya. Apa sebabnya? Kami sudah lama menunggu saat ini. Sudahlah saya terpaksa bayar mahal untuk prosedur hospital,” tampak air muka kecewa membaluti wajahnya ketika itu. 

Bil hospital diunjukkan kepadaku. 

Aku ambil dan selak. 

Bukan sedikit harga yang dibayar oleh pasangan ini bagi mengapai impian menimang cahayamata. Ini lumrah mereka yang sudah berjanji setia. 

Tidak kira agama atau dari mana asalnya, pasti terselit rasa bahagia pabila perhubungan cinta yang dibina, dipateri dengan keindahan anugerah daripada Pencipta, iaitu seorang anak. Cuma, kerna mereka bukan warganegara, kos hospital menjadi berkali ganda. 

“Saya selalu beritahu pasangan jika mahu mula merancang untuk hamil, amalkan makan asid folik sebiji sehari selama tiga bulan sebelum hamil dan disambung sehingga 3 bulan selepas hamil. Selain bersedia emosi, fizikal, kesihatan juga perlu dipastikan optimum. Berat badan yang ideal dicapai dan jika ada sebarang penyakit dan ubatan yang dimakan, pastikan nasihat doktor diikuti supaya kandungan yang ditunggu-tunggu dapat membesar dengan baik. Risiko masalah kesihatan semasa hamil juga dapat dikurangkan."

“Terima kasih doktor, tiada orang bagitahu saya macam ni sebelum ni. Saya ada tanya tapi diaorang cakap tunggu appointment dulu baru doktor bagitahu. Kami sudah tujuh tahun kahwin doktor, ini kali mengandung kami sangat gembira, setiap dua minggu ada datang klinik, tiba-tiba tiada sudah,” sang suami bersuara.

“Hasil ujian makmal terhadap sampel yang dihantar selepas prosedur tidak bermasalah. Tuan dan isteri boleh cuba untuk hamil lagi, dan kalau boleh buat saranan yang saya beritahu tadi, boleh membantu ya.” 

Aku cuba sedaya upaya meyakinkan pasangan bahawa mereka masih boleh mencuba, yang penting usaha dan sokongan terhadap pasangan yang utama.

Aku lihat ada senyuman di balik topeng muka kedua-dua mereka, ianya terpancar dari pandangan mata yang bercahaya. 

Bukan mudah menerima berita keguguran dan kegagalan, selepas lebih 7 tahun berharap.

Yang pasti mereka masih berdua, saling menyokong dan si suami tampak tenang dan positif. Mereka masih ada masa, usaha dan doa. Itu yang utama. 

#AIMIGYN

No comments:

Post a Comment