Tinta Kehidupan: Kanser pangkal rahim

Kanser pangkal rahim

 


"Bukan apa, bila makcik bagitahu ada pendarahan sedikit tadi, yang saya khuatir pendarahan makcik datangnya daripada sakit kanser, lebih-lebih lagi makcik dah menopaus.”

‘It is cancer until proven otherwise.’
---
“Makcik ada anak 20 ye makcik?”

Terjeda sekejap menatap nota pesakit hari ini.

Makcik datang untuk temujanji setiap empat bulan, untuk rawatan rahim jatuh. Sudah dua tahun dia memakai ‘ring pessary’ untuk memastikan simptom dan masalah kesan rahim jatuhnya itu terkawal. Masalah ini sudah lama terjadi namun bertambah baik selepas berjumpa doktor sakit puan.

Cukuplah makcik boleh beribadat dan bermain dengan cucu-cucu yang ramai di usia emas ini. Itu yang penting.

Temujanji sudah tertunda sejak 2 bulan yang lepas, akibat COVID-19.

“Betul doktor, saya anak yang kedua terakhir, itupun saya ada kembar. 20 yang lahir, 8 sudah simpan. Yang ada kami duduk sekitar emak kami di kampung.”

“Makcik tinggal dengan siapa ya di rumah?”

Aku melihat buku temujanjinya, masih baru. Aku kira, kunjungannya ke hospital ini masih sedikit bilangannya.

“Ada kakak saya di rumah menemani emak kami. Kami pun duduk dekat sahaja.”

“Makcik ini kategori sihat juga ya. Masalah kesihatan pun saya lihat baru sahaja ada, dua tiga tahun lepas baru ada kencing manis, darah tinggi baru enam bulan lepas. Makcik kena kasi tips sihat cergas pada kami,” aku berseloroh.

“Makan makanan sihat dan selalu berpeluh je doktor. Makakcik memang tidak ada petua lain pun. Sakit-sakit tua pun baru ada. Ha doktor, baru-baru ini makcik rasa ada darah di seluar, cuba doktor tengokkan.”

‘It is cancer until proven otherwise.’

Mindaku terus terbayang kata-kata pensyarah perubatan O&Gku suatu ketika dahulu.

Wanita yang sudah mencapai usia menopaus, jika ada pendarahan berlaku selepas itu, perlulah diperiksa dan dipastikan bukan kanser. Ia adalah risiko paling buruk boleh berlaku di penghujung usia.

Tidak dinafikan lebih banyak sebab lain yang lebih minor namun tidak seberat diagnosis kanser.

“Tapi sedikit sahaja doktor, tiada apa-apa masalah kot.”

Aku hanya tersenyum kelat di sebalik topeng muka hijauku, seraya memanggil staf di klinik bagi membantu pemeriksaan ke atas makcik.

Doa-doa dalam hati dijauhkan musibah ke atas diri makcik.

Pemeriksaan dilakukan.

‘Ring pessary’ makcik aku keluarkan, cuci bersih dan simpan. Dengan alat spekulum dan bantuan cahaya daripada lampu berdiri, aku cuba melihat dan mencari sumber pendarahan makcik.

Kapas dan pemegang span aku gunakan bagi membersihkan ruang vagina. Pangkal rahim nampak atropik namun tiada ketumbuhan. Itu satu berita baik buat makcik.

“Kan tiada apa-apa makcik kata, sedikit sahaja, sekali masa makcik hendak buang air kecil.” Aku mengesan kelegaan di nada suaranya, aku juga.

“ Bukan apa, bila makcik bagitahu ada pendarahan sedikit tadi, yang saya khuatir pendarahan makcik datangnya daripada sakit kanser, lebih-lebih lagi makcik dah menopaus. Tapi alhamdulilah, nampaknya tiada masalah yang besar, saya rasa lebih kepada kering ruang vagina kerana hormon oestrogen makcik sudah berkurangan selepas menopaus. Nanti saya bagi krim hormon ya, makcik sapu malam-malam dua minggu ni."

Aku beritahu makcik keputusan perbincangan dengan pakar perunding sebentar tadi.

“Baik doktor, saya pun lega, dari hari tu saya sudah minta emak ikut ke klinik tetapi dia tidak mahu. Saya juga takut ada apa-apa masalah sebab pendarahan hari tu banyak juga sebenarnya.”

Seorang anak menyatakan kegusaran darihal ibunya. Anak yang bongsu.

“Beginilah, pakai krim hormon ni ikut waktunya, kita jumpa lagi empat minggu untuk saya lihat makcik balik. Jika ada lagi pendarahan, kena jumpa doktor terus ya. Bila-bila masa sahaja selepas ini. Penting tau makcik!”

Mereka berdua berlalu keluar ke kaunter klinik meninggalkan aku tersandar di kerusi, mengingatkan cerita pesakit lain yang enggan menerima rawatan penyakit kanser pangkal rahim.

Harapnya makcik akan pegang janjinya tadi untuk buat pemeriksaan jika pendarahan berulang lagi.

Pegang janji ya makcik!

#AimiGYN

Nota : Kisah benar diolah dan diselit mesej yang sahih.

No comments:

Post a Comment